‘I Want to Touch a Dog’ dapat sambutan besar di kalangan umat Islam
Siti Sakinah menghadiri acara 'I Want to Touch a Dog' pagi ini bersama empat anak-anaknya di Central Park, Bandar Utama. – Gambar The Malaysian Insider oleh Muzliza Mustafa, 19 Oktober, 2014.
Siti Sakinah takut kepada anjing sepanjang hidupnya. Bukan itu sahaja, dia diberitahu menyentuh anjing tidak dibenarkan dalam Islam. Itulah mentaliti dan pengajaran yang tertanam dalam dirinya oleh keluarga konvensionalnya.
Namun hari ini, Siti Sakinah bersama-sama empat anaknya hadir ke Central Park, Bandar Utama, Selangor, untuk mengambil bahagian dalam acara "I Want to Touch a Dog", satu acara untuk mengatasi ketakutannya.
"Ia juga untuk menunjukkan menyentuh anjing tidak haram. Ramai yang bimbang menyentuh anjing lebih kerana ia satu dosa, bukannya takut kepada dosa yang lebih besar," kata Siti Sakinah, seorang bekas guru agama yang kini bekerja dengan sebuah NGO
Beliau berkata suaminya, seorang ustaz, memberi izin untuk menghadiri majlis hari ini.
"Saya mahu melompat gembira apabila dia berkata ya dan saya beritahu anak-anak saya, mereka harus pergi. Dan mereka semua datang hari ini dengan saya untuk mengatasi ketakutan mereka dan apabila mengetahui anjing juga makhluk yang dicipta Allah yang memerlukan cinta dan kasih sayang," kata Siti Sakinah, yang sejak pagi menyentuh dan mengelus anjing sahaja.
"Saya masih takut pada anjing besar jadi saya menyentuh yang kecil terlebih dahulu," katanya dengan gembira.
Siti Sakinah dan anak-anaknya antara keluarga yang hadir pada majlis itu yang dihadiri lebih 1,000 orang.
Penganjur acara itu, Syed Azmi Alhabshi, berkata dia berpuas hati dengan hasilnya.
"Kami hanya jangka 60, tetapi ini sudah lebih daripada 60. Ini amat menggalakkan dan saya harap saya menyediakan air yang cukup untuk anjing dan meminta maaf ke atas sebarang kekurangan," katanya.
Azmi, yang sejak pagi memantau persekitaran supaya semuanya teratur, juga berjaya menyentuh bukan satu, tetapi beberapa ekor anjing buat pertama kali dalam hidupnya.
"Saya ingin menyentuh husky tapi begitu sibuk sekali," katanya.
Pencinta haiwan yang tiba di Central Park sejak pagi berjalan-jalan dengan anjing mereka yang pelbagai jenis seperti husky, German Shepherd, Doberman, Golden Retriever dan poodle.
"Saya ingin tahu, itulah sebabnya saya ke sini. Saya menyentuh beberapa. Saya tidak pernah mempunyai peluang sebegini sebelum ini.
“Saya membesar di Kota Baru dan kini belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ibu bapa saya tidak tahu bahawa saya di sini tetapi kawan-kawan sangat menyokong, "kata Nik Farhana Nik Othman, 22.
Nik Farhana diiringi oleh seorang teman.
Satu lagi wanita yang mahu dikenali hanya sebagai Munirah Mohamad, 35, berkata hubungannya dengan anjing bermula tiga tahun lalu ketika dia selamatkan seekor anjing yang didera oleh jirannya.
"Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya sangat takut sehingga saya biarkan anjing itu ke anjung rumah saya.
“Saya menghubungi doktor haiwan untuk datang dan menjemputnya untuk memberikan rawatan. Dan saya dimarahi oleh jiran saya," kata Munirah.
Sejak itu, katanya, beliau menyelamatkan lebih daripada 50 anjing. Kebanyakan anjing itu terbiar dan Munirah memberinya makan dan rawatan.
Sebahagian daripadanya kembali ke jalanan setelah dirawat manakala yang lain terus tinggal bersamanya.
Pada masa ini, Munirah mempunyai dua ekor anjing sebagai haiwan kesayangan. Tetapi beliau hanya membawa seekor untuk program hari ini.
"Saya temui anjing saya, Sasa, di jalanan dengan kakinya patah. Saya bawa pulang dan merawatnya sehingga sihat. Keluarga saya tidak menyukainya apa yang saya buat.
"Mereka rasa saya hanya membuang tenaga dan wang tetapi bagi saya, anjing juga seperti haiwan lain yang memerlukan penjagaan dan kasih sayang," kata Munirah.
Beliau berkata, semua perkara negatif yang dia lalui membuatkannya terfikir untuk berhijrah.
"Kadang-kadang saya rasa saya mahu lari, tetapi jika saya kekal, saya dapat menyelamatkan lebih banyak anjing. Jadi saya belum memutuskan apa yang perlu dilakukan."
Beliau berkata acara hari ini adalah cara yang baik untuk mendidik umat Islam untuk mencintai dan menunjukkan kasih sayang terhadap haiwan.
Program "I Want to Touch a Dog" adalah acara untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih peka dengan makhluk berbulu dan berkaki empat itu dan juga untuk mendidik orang ramai tentang bagaimana untuk mengamalkan "sertu" (pembersihan).
Ini adalah untuk membantu mereka mengatasi rasa takut terhadap anjing dan membawa bersama-sama rakyat Malaysia bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman yang melampaui budaya, bangsa dan agama.
Turut hadir pada majlis itu ialah ustaz Mohd Iqbal Parjin yang memberikan ceramah mengenai menyentuh anjing dalam Islam.
"Anjing juga makhluk tuhan. Kita perlu mengatasi mentaliti melihat haiwan sebagai makhluk yang menyakitkan hati. Mengajar anak muda untuk mencintai orang lain, tetapi pada masa yang sama, tahu batasan untuk menyentuhnya," kata Iqbal. – 19 Oktober 2014
SUMBER >>>
Apakah permasalahan utamanya ketakutan terhadap Anjing atau takut pada Allah S.W.T?
Apakah hukum Islam menyentuh Anjing?
JAKIM siasat program 'I Want To Touch a Dog'
KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyiasat penganjuran acara 'I Want To Touch A Dog' (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.
Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).
"Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.
Izzah: Tahniah penganjur acara sentuh anjing
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur dan orang ramai yang hadir pada satu acara yang membolehkan pengunjung, termasuk umat Islam, menyentuh anjing hari ini.Dalam kemas kini status Twitternya, beliau menyindir Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang sebelum ini pernah menyebut bahawa 'kempen sentuh anjing' itu sangat janggal.
“Islam juga mengenai belas kasihan. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang datang,” tulis Nurul Izzah, hari ini.
Namun, Fathul Bari membalas status itu dengan mengatakan: “YB Nurul Izzah, umat Islam sokong kempen ‘ihsan’ ke atas haiwan, termasuk anjing. Cuma kempen ‘touch (a) dog’ (sentuh anjing) sangat janggal,” katanya.
Melalui interaksi terkini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyindir Fathul Bari dengan berkongsi paparan skrin gambar surat, dipercayai daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
“Untuk ‘haters’ (mereka yang tidak suka) di luar sana, termasuk Ustaz Fathul Bari, acara termasuk tazkirah ringkas oleh ustaz (Mais),” katanya.
Kemudian Fathul Bari membalas: “YB Nurul Izzah, jangan emosi. Saya hanya sebut ‘sangat janggal’. Jangan bimbang OK. Saya tidak setuju konsep tersebut dan itu adalah hak saya memberikan pendapat.”
Hari ini berlangsung acara ‘I Want To Touch a Dog’ (Saya ingin sentuh anjing) di Central Park, Bandar Utama, yang bertujuan membantu orang ramai, terutamanya umat Islam, untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing dan dilaporkan mendapat sambutan.
Memetik laporan sebuah portal, sebelum acara bermula, sebuah forum memberi peluang kepada orang ramai membangkitkan kemusykilan kepada seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang berpengalaman mengendalikan anjing serta doktor haiwan.
Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang anjing dalam keadaan basah.
APAKAH HUKUM MENYENTUH ANJING MENURUT ISLAM..??????
GAMBAR TERKAIT
Menyentuh Anjing Hukumnya Haram, Itu Kesimpulan Yang Cetek - Dr Asri
KUALA LUMPUR: Menyatakan haram apabila (dalam kalangan individu muslim) memegang atau menyentuh anjing atas alasan ianya bersifat najis merupakan kesimpulan hukum yang cetek, kata Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Ada pula yang cuba menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya.
“Haramlah juga mereka yang bekerja membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek,” tulisnya dilaman Facebook, DrMaza.com semalam dalam artikel bertajuk “Anjing Dan Isu Masyarakat Malaysia”.
Mohd Asri menambah berdasarkan pandangan ulama tersohor dan beberapa mazhab, menyentuh anjing hukumnya tidak haram.
“Maka tidak haram menyentuh anjing. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah pula adalah khilaf (tidak sependapat atas sesuatu perkara) pendapat dalam kalangan sarjana.
“Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah,” katanya lagi.
Sementara itu katanya, sebahagian fuqaha (ahli di bidang kefahaman al-Quran dan hadis) membataskan konteks najis anjing hanya pada jilatan sahaja sepertimana yang disebut oleh riwayat Al-Bukhari.
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah.
“Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat,” jelasnya dalam kenyataan yang sama.
Bolehkah Umat Islam Memelihara Anjing?
Tambah Mohd Asri yang juga mesra digelar Dr Maza sepertimana yang termaktub serta diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim lagi, hukum memelihara anjing bagi umat Islam adalah tidak digalakkan.
“Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam.
“Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud),” tulisnya.
Menurutnya lagi berdasarkan hadis tersebut, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebut (diatas) berada pada hukum makruh yang mana hadis tidak menyebut ianya sebagai dosa, tetapi hanya pengurangan pahala.
Menerusi coretan ringkasnya juga, Mohd Asri berkata, antara sebab Islam tidak mengalakkan umatnya memelihara anjing adalah untuk tujuan keselamatan dan kesihatan yang mungkin boleh mengundang bahaya kepada individu tersebut (umat Islam).
“Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing.
“Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana bahayanya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman.
“Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik, maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan,” jelasnya.
Semalam, berlangsung acara ‘I Want To Touch a Dog’ (Saya ingin sentuh anjing) di Central Park, Bandar Utama, yang dianjurkan oleh Syed Azmi Alhabshi bertujuan membantu orang ramai terutamanya umat Islam, untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing dan dilaporkan mendapat sambutan