SEJARAH TEBU
Tebu merupakan dari keluarga rumput yang berasal dari Asia Tenggara. Batangnya yang tebal menyimpan sukrose dalam batangnya. Dari cecair ini gula dihasilkan dengan mengeringkan airnya. Gula yang dikristalkan telah dilaporkan semenjak 2500 tahun dahulu di India. Biasanya, tebu yang bengkok adalah kurang manis berbanding tebu yang batangnya lurus. Kebanyakan tebu yang biasa dilihat adalah tebu yang berwarna kuning dan juga tebu yang berwana hitam. Sekitar abad ke-8 A.D. orang-orang Arab memperkenalkan gula ke Mediterranean dan dari situ ia ditanam di Sepanyol. Ia merupakan salah satu tanaman terawal yang di bawa ke Amerika oleh orang-orang Sepanyol.
Tebu telah ditanam secara meluas di Caribbean dan masih lagi merupakan sumber ekonomi penting di beberapa pulau. Sewaktu penjajah, gula adalah satu keluaran utama bagi perdagangan segitiga bahan-bahan mentah Dunia Baru, pengilangan Eropah dan hamba Afrika. Perancis mendapati tebu di pulau-pulaunya begitu berharga sehinggakan ia menukarkan Kanada kepada Britain bagi mendapat kembali Guadeloupe, Martinique dan St. Lucia mereka pada akhirnya Perang Tujuh Tahun. [Belanda|Dutch]] turut mengekalkan Suriname, koloni gula di Amerika Selatan, dan tidak cuba mendapatkan kembali New Netherlands (Amsterdam Baru). Tebu Cuba menghasilkan gula yang menerima sokongan harga dan pasaran terjamin di USSR; pembubaran negara tersebut memaksa penutupan kebanyakan daripada industri gula Cuba. Tebu masih merupakan bahagian penting ekonomi bagi Barbados, Repbulik Dominican, Guadeloupe, Jamaica, Grenada, dan pulau-pulau lain. Industri tebu adalah eksport utama bagi Caribbean, tetapi ia adalah dijangka akan gagal dengan penghapusan keutamaan (preferences ) Eropah menjelang 2009.
Penanaman tebu turut memberi kesan kepada sejarah moden kebanyakan pulau Pasifik tropika, terutamanya Hawaii dan Fiji. Di pulau ini, gula menguasai keadaan politik dan ekonomi selepas masyarakat tempatan dijajah oleh Eropah dan Amerika. Orang Eropah dan Amerika turut menggalakkan penghijrahan dari pelbagai negara Asia sebagai pekerja bagi menjaga dan menuai tanaman. Polisi industri gula akhirnya menentukan bentuk etnik penduduk pulau yang wujud kini, menjejaskan dengan banyaknya masyarakat dan politik di pulau tersebut.
Brazil merupakan penanam utama tebu, di mana ia digunakan bagi menghasilkan gula dan juga bagi menghasilkan alkohol yang digunakan bagi menghasilkan bahan api gasohol dan biodiesel.
SEREMBAN, 10 April (Bernama) -- Mungkin tidak ramai yang tahu tanaman tebu boleh menjanjikan pendapatan lumayan kepada seorang peladang dengan keuntungan antara RM5,000 dan RM8,000 bagi keluasan tanah hanya 0.4 hektar.
Keuntungan peladang akan berlipat ganda menjelang bulan Ramadan apabila permintaan yang meningkat menyebabkan harga sebatang tebu melonjak dari RM1.20 sebatang kepada RM2.50 menjadikan keuntungan boleh mencecah sehingga RM20,000.
Seorang pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkata sebaik-baiknya pemilik ladang mempunyai sekurang-kurangnya 1.6 hektar tanah yang membolehkan sebanyak 8,000 batang tebu ditanam.
Ladang tebu itu akan mengeluarkan hasil selepas lapan bulan.
Selain untuk pasaran tempatan, Fama juga membantu peladang mencari pasaran luar negara kerana tebu kini mempunyai potensi tinggi untuk dieksport ke negara Asia Barat dan juga Singapura.
AIR TEBU DIEKSPORT
Pengarah Fama (Bijirin dan Herba) Abdul Rahman Abdul Rahim memberitahu Bernama bahawa Johor merupakan negeri yang aktif dengan aktiviti penanaman dan pemasaran produk yang berkaitan dengan tebu.
"Di Batu Pahat sahaja kami ada 22.6 hektar dan Muar dengan keluasan 173 hektar ladang tebu. Peladang di sini ada yang inovatif dan berjaya menghasilkan minuman air tebu yang dibotolkan dan dieksport sehingga ke Singapura", katanya.
Jumlah eksport tebu ke Singapura mencecah antara 200 dan 400 ikat sehari malahan pada tahun 2006, eksport tebu mencapai sehingga RM5.4 juta, kemudian meningkat kepada RM5.8 juta pada tahun 2007.
Fama juga telah membina sebuah Pusat Pengumpulan Tebu (PPT) yang berharga RM4.5 juta di Semerah, Batu Pahat untuk pasaran eksport ke Singapura kerana negara itu mempunyai syarat yang ketat berhubung soal kebersihan dan kualiti produk pertanian.
PPT adalah pusat eksport bagi tebu dengan fokusnya adalah kualiti produk pertanian itu. Ia juga bertindak sebagai agen pemangkin pertumbuhan dan pembangunan tanaman itu di negara ini.
Pusat ini yang dilengkapi dua bilik sejuk mempunyai kemudahan penyelidikan untuk meningkatkan lagi kualiti tebu untuk pasaran domestik dan luar negeri.
Pusat itu, yang pertama dibina di Malaysia, merupakan usaha Fama untuk membolehkan tebu Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dengan produk tebu yang berkualiti tinggi, kata Abdul Rahman.
TEBU DIPOTONG DAN DIEKSPORT
Bernama yang mengikuti rombongan Fama ke PPT tersebut mendapati syarikat Purecane Manufacturing Sdn Bhd mengeksport batang-batang tebu yang siap dipotong pendek ke dalam kotak untuk dihantar ke Singapura.
Dalam satu perjanjian dengan Fama, Purecane bersetuju memasarkan tebu dari 79 peladang yang mengerjakan ladang kontrak di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Batang tebu yang telah dipotong pendek dimasukkan ke dalam kotak sebelum dihantar ke Singapura.
Menurut Abdul Rahman, 400 kotak yang mengandungi 5,000 batang tebu di eksport ke Singapura setiap hari. Nilainya adalah RM330,000 sebulan.
Dengan adanya PPT di Semerah, ia membolehkan peladang memproses tebu mereka untuk pasaran eksport secara sistematik dengan dipantau oleh agensi tersebut.
KUALITI DIUTAMAKAN
Menurut Pengarah Pengurusan Purecane Manufacturing Sdn Bhd Loo Woe San, syarikatnya sudah pun menggunakan pusat itu sejak dibuka walaupun mempunyai kilang sendiri.
"Kami bagaimanapun yakin dengan wawasan Fama bahawa untuk mengeksport tebu, produk kita kena bersih dan mendapat pengiktirafan antarabangsa dan Fama memastikan semua ini wujud di pusat ini", katanya.
Selain daripada batang tebu, pengusaha menghasilkan produk tebu seperti minuman air tebu yang dijual dalam botol berharga RM1.10.
Katanya produk ini tidak dijual di tempat lain kerana masalah kesegaran air tebu yang hanya bertahan paling lama seminggu.
Beliau sendiri mengakui syarikatnya tidak mendapat bekalan tebu yang cukup dan terpaksa mendapatkan bekalan dari ladang-ladang tebu di negeri lain.
"Permintaan antarabangsa sangat tinggi. Ini disebabkan tebu Malaysia mempunyai kualiti yang sangat baik dan airnya lebih sedap", katanya.
-- BERNAMA
KISAH WANITA YANG MENGUSAHAKAN TANAMAN TEBU
Deretan tanaman tebu yang menghiasi hampir satu hektar di kawasan bendang terbiar di Kampung Tiak, Kupang, Baling, Kedah telah melenyapkan sama sekali status kawasan itu yang selama ini ditumbuhi hutan liar.
Selama ini tiada siapa yang bersedia membanting tulang sekalipun kawasan bendang terbiar ini subur dan menerima apa jua benih yang ditabur atau ditanam.
Melihat akan potensi dan masa depan tanah yang terbentang luas berhampiran rumah, seorang gadis sanggup mengetepikan perasaan malu dengan menjadikan tebu sebagai tanaman pilihan.
Tindakannya itu akhirnya, membuka mata penduduk kampung yang selama ini tidak menyangka berbudi pada tanah sebenarnya mampu mendapat pulangan lumayan.
Wan Hamidahton Wan Ishak, 24, lulusan diploma Kejuruteraan Mekanikal Pertanian dari Politeknik Kota Bharu, Kelantan ini mengambil langkah berani dengan menyewa tanah dan menjadikan tanaman tebu jenis Morris sebagai tanaman pilihan.
Langkah gadis ini pada mulanya mungkin dianggap penduduk kampung sebagai satu angan-angan atau sekadar mencuba, namun anak keempat daripada tujuh beradik ini membuktikan segalanya boleh dilakukan.
Ternyata Wan Hamidahton tidak kekok ketika memegang cangkul, malah kebolehannya memandu sendiri jentera pembajak membuktikan dia begitu teruja untuk terjun ke bidang ini.
Tanah milik penduduk kampung yang selama ini terbiar membuka mata Wan Hamidahton untuk memajukannya secara komersial di Kampung Tiak, Kupang ini.
Menceritakan pengalaman awalnya, gadis ini berkata, apabila kembali ke kampung dua tahun lalu dia begitu sedih apabila melihat banyak tanah sawah terbiar yang menjadi semak samun kerana pemiliknya tidak lagi berminat untuk mengusahakan sawah.
Mungkin fikirnya anak muda sepertinya tidak lagi berminat dengan kerja kotor pada anggapan mereka sehingga timbul perasaan ingin menceburi secara bersungguh-sungguh.
Hasrat murni gadis ini untuk turun ke tanah membanting tulang bagaikan seiring dengan cita-cita bapanya, Wan Ishak Wan Ibrahim, 56, yang lantas berjaya menghidu niat baik anak gadisnya ini.
Berbekalkan modal sendiri Wan Hamidahton dan bapanya menanam sebanyak 3,000 pokok tebu sebagai permulaan sehinggalah lapan bulan kemudian hasilnya menguja kedua-dua beranak ini.
Sekalipun usaha gadis ini berjaya, dia yang tidak dibantu oleh pihak tertentu tidak berasa kecewa kerana sedar mungkin pihak berkenaan mahu melihat sejauh mana kebolehan petani muda sepertinya bergerak sendiri.
“Setakat ini, belum ada mana-mana pihak membantu tetapi saya sedar sebagai orang baru kita kena hidup dan berikhtiar sendiri,’’ katanya.
Kesungguhannya turun ke ladang tebu seawal pagi untuk menjenguk pokok tebu terutama bagi mengelak tanaman ini diserang musuh jelas menunjukkan dirinya semakin meminati dunia pertanian yang diceburinya.
Rutin harian anak gadis ini ialah membersih kawasan tanaman tebunya dengan sesekali membuang daun-daun kering dan memeriksa batang pokok tebu kalau-kalau ia diserang penyakit.
Menurut Wan Halimahton, ketika mula-mula menanam tebu dia banyak belajar daripada bapanya termasuk dalam memilih tebu bermutu untuk dijadikan benih.
Katanya, pada mulanya dia menjangkakan agak sukar untuk menjaga tanaman ini kerana sebelum ini dia tidak pernah menjalani apa jua kursus atau latihan mengenai tanaman itu.
“Selepas menceburinya saya dapat rasakan pengalaman terlibat dalam bidang pertanian cukup puas,” katanya.
Tambahnya, tebu akan matang antara lapan hingga sembilan bulan bergantung kepada keperluan baja dan penjagaan.
Setiap kali tebu mencapai tahap matang Wan Halimahton berkata, antara satu hingga dua tan tebu dapat ditebang sebelum dijual kepada peraih.
Bagi semusim dia dapat menebang sehingga 18 tan tebu jenis Morris. Selain jenis Morris, terdapat juga tebu hitam yang ditanam di ladang tebu milik gadis ini.
Namun anak gadis yang bercita-cita menjadi jurutera pertanian ini yakin tebu kuning jenis Morris ini berpotensi besar sekiranya ditanam secara komersial.
“Tebu jenis ini agak besar dan airnya cukup manis dan tahan penyakit,” ujarnya.
Wan Hamidahton berkata, tebu yang ada di ladangnya itu bakal ditebang tidak lama lagi dan selepas itu tebu Morris akan mengambil tempat menghiasi ladangnya.
Bagi membuktikan bekalan dan permintaan yang tinggi terhadap tanaman ini, petani muda ini telah bersedia untuk menyewa lagi kawasan tanah sawah terbiar untuk ditanam dengan tebu.
Setakat ini, tebu yang dihasilkan oleh gadis ini hanya mampu menampung pasaran tempatan termasuk sehingga ke Pulau Pinang.
Pun begitu Wan Hamidahton dan bapanya, juga menanam tebu secara berperingkat-peringkat bagi mengelak kehabisan bekalan terutama menjelang bulan Ramadan ini.
Mengenai harga tebu, dia yakin harga tanaman ini akan meningkat dari semasa ke semasa. Ketika ini Wan Hamidah berkata, dia menjual tebu dengan harga RM0.50 sekilogram iaitu melebihi RM500 bagi setiap tan.
“Biarpun nampak murah namun tebu jenis Morris agak menarik kerana mutunya cukup baik,” ujarnya.
Gadis yang tidak lokek dengan senyuman ini ternyata puas dengan usahanya untuk memperluaskan lagi tanaman tebu jika mendapat kawasan tanah yang luas.
“Insya-Allah kami sedang bergerak ke arah itu dan akan menyewa tanah lagi bagi memajukan lagi bidang ini,” akuinya.
Bagi Wan Ishak kesungguhan anaknya terlibat dalam bidang ini sungguh melegakannya kerana dia yakin bidang ini cukup berpotensi besar, malah penyertaan Wan Halimahton boleh membuka era baru dalam tanaman tebu khususnya pertanian yang dianggap perniagaan yang menguntungkan.
Suami kepada Hindon Abdullah, 54, ini mahu menjadikan anak gadisnya contoh kepada anak-anak kampung terutama wanita kerana tanah terbiar yang luas masih menanti mereka.
Sekalipun digelar gadis tebu, Wan Halimahton sedar umur seusianya perlu menongkah masa untuk bangkit memajukan bidang pertanian kerana bidang ini semakin terserlah dan menjadi keutamaan kerajaan.
Bagi anda yang mempunyai tanah tapi tidak mempunyai perkerjaan tetap bolehlah menceburi bidang pertanian sebagai punca pendapatan,antara tanaman yang boleh anda usahakan untuk dikomersialkan adalah tebu,yang mampu meraih pendapatan mewah.berbudi kepada tanah kita akan mendapat hasilnya. Insya Allah.Air tebu sangat digemari oleh banyak orang,apatahlagi di Bulan Ramadhan.