Isu kewajaran guru merotan murid telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Dengan timbulnya kes-kes seperti di atas, ada yang beranggapan bahawa hukuman rotan perlu dikaji semula terhadap mekanisme pelaksanaannya. . Timbul persoalan tentang kewajaran hukuman merotan yang pernah diberikan kuasanya kepada guru tetapi telah dilarang mulai tahun 1983 ketika Tan Sri Murad Mohamed Noor menjadi Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia. Beliau dengan tegasnya mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh hemah tetapi kesannya apa yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah pelajar semakin berani mempertikaikan tentang peraturan dan disiplin sekolah. Pelbagai isu negatif yang melibatkan perlakuan negatif pelajar terhadap guru antaranya pelajar mencekik seorang guru perempuan di Pulau Pinang, isu pelajar tumbuk guru di Sabah, isu kereta guru dirosakkan pelajar di Terengganu dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, guru dalam dilema samada ingin menggunakan hukuman rotan atau tidak di sekolah.
HUKUMAN ROTAN DITENTANG?MENGAPA?
Denda atau hukuman yang melibatkan jasmani seperti merotan, menengking dan memukul merupakan amalan biasa di sekolah-sekolah sama ada di negara ini mahupun di luar negara. Laporan oleh Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk Keganasan Terhadap Kanak-Kanak berpendapat, amalan itu hanya akan memberikan kesan negatif kepada emosi serta pelajaran mereka. Laporan tersebut menyebut, hukuman dalam bentuk fizikal sebenarnya tidak memberi kesan positif kepada pelajar, malah lebih teruk lagi apabila mereka secara tidak langsung mula beranggapan bahawa keganasan boleh diterima pakai ketika berhadapan dengan masalah.
Hanya sedikit nilai positif yang diperoleh oleh pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal di sekolah. Sebaliknya, apa yang lebih merisaukan pelajar berkenaan hilang matlamat dalam akademik dan kurang bermotivasi untuk berjaya. Laporan tersebut dijalankan dalam tempoh lima tahun menerusi lawatan dan pemantauan intensif daripada sembilan bahagian, termasuk kerajaan, orang awam dan kanak-kanak. Di samping lawatan dan pemantauan, borang kaji selidik turut diedarkan kepada 133 kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Laporan yang dikeluarkan pada Oktober 2006 mendedahkan skop yang mengejutkan ke atas keganasan terhadap kanak-kanak, keluarga, komuniti terhampir mahupun komuniti yang lebih meluas. Kebanyakan kanak-kanak mempunyai pengalaman merasai hukuman fizikal oleh individu yang sepatutnya melindungi mereka. Dalam laporan yang sama, sekolah turut direkodkan sebagai kawasan hitam kepada pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal mahupun mereka yang pernah merasai pengalaman dibuli. Laporan tersebut turut memberitahu, kanak-kanak yang diberi hukuman jasmani di sekolah mempunyai nilai moral yang lebih rendah dan cepat menjadi tertekan serta bersikap agresif. Ada kalanya kesalahan kecil seperti tidak melakukan kerja rumah turut berhadapan dengan hukuman tersebut.
UNICEF percaya bahawa hukuman fizikal ini perlu dihapuskan kerana ia bersifat penganiayaan dan tidak berkesan dalam mendidik pelajar menjadi lebih baik dan berdisiplin. Untuk mengukuhkan lagi kajian tersebut, Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak turut mengharamkan cara hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan tanpa mengira apa jua keadaan sekalipun.
Pada tahun 1983, bekas Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia.Tan Sri Murad Mohamed Noor mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh kasih sayang. Antara hujah beliau ialah beliau tidak mahu berlaku suasana pelajar takut kepada guru dan guru perlu menjadi kawan kepada pelajarnya. Selain itu, larangan merotan juga adalah untuk merapatkan hubungan guru dengan pelajar sehingga pelajar boleh membincangkan masalah peribadi dengan guru.
WAJAR ATAU TIDAK HUKUMAN ROTAN?
Dalam sistem pendidikan Islam, hukuman rotan atau pukul dibenarkan namun dengan syarat tidak terkeluar dari tujuan pencegahan sesuatu kemungkaran serta pembaikan akhlak, bukan kepada menurut kehendak hati atau membalas dendam. Abdullah Nasih Ulwan(1983) dalam kitabnya ‘Pendidikan Anak Dalam Islam’ menyebut bahawa syarat-syarat dibenarkan menggunakan hukuman pukul atau rotan adalah seperti berikut :
1) Seseorang pendidik tidak boleh menggunakan hukuman pukul melainkan setelah dicuba semua cara pengajaran dan pencegahan yang lain.
2) Pendidik tidak boleh memukul dalam keadaan marah kerana dibimbangi pukulan itu akan mendatangkan bahaya kepada si anak.
3) Hendaklah si pendidik menjauhi tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya ketika memukul, iaitu kepala, muka, dada, perut dan seumpamanya kerana di sana ada pesanan dari Rasulullah S.A.W dalam sabdanya
“ Jangan memukul wajah!”
Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan bahawa memukul pelajar itu dibenarkan dengan dua perkara:
1. Selepas memperoleh keizinan dari ibubapa atau penjaganya.
2. Apabila dirasakan secara zhan (70% kemungkinan) bahawa ia dapat memberi pengajaran.
3. Kanak-kanak itu tidak terlalu kecil umurnya.
Apabila dirasakan bahawa tiada faedah atau pengajaran dengan memukul pelajar kecuali dengan satu pukulan yang kuat serta benar-benar menyakitkan, maka tidak diperboleh melakukannya. Hukuman dera yang dibenarkan dalam Islam adalah berdasarkan kemungkinan dapat memperbaiki kelakuan, lalu apabila ia dapat memberi mudharat maka hukuman dera itu ternafi (tidak boleh dijalankan).
Maksudnya jika seseorang pelajar itu dirasakan dari jenis kebal rotan kalau setakat dirotan sikit-sikit dan dia hanya akan serik kalau di pukul dengan benar-benar teruk (yang benar-benar menyakitkan), maka ketika itu tidak dibenarkan sama sekali memukulnya. Kerana ia akan membawa mudharat kepada pelajar itu. Ia bertentangan dengan tujuan syariat yang diturunkan untuk memperbaiki bukan memberi mudharat.
Bagi umat Islam, mereka sudah tentu pernah mendengar sabda Nabi S.A.W di dalam hadisnya yang bermaksud:
"Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud)
Jika perlu merotan anak, guru dan ibu bapa boleh berbuat demikian selepas anak berumur 10 tahun. Mengapa pada usia 10 tahun? Ilmuwan Islam berpendapat anak yang berumur pra baligh iaitu sekitar 9 hingga 12 tahun boleh memahami kesan hukuman dikenakan. Anak kecil di bawah umur itu selalunya tidak dapat memahami jika didenda atas kesalahannya. Justeru, jika anak kecil yang didenda, dia mungkin mengulangi perbuatannya itu tanpa pengetahuan penjaganya. Amaran awal harus diberi iaitu jika peraturan tertentu dilanggar, anak boleh dirotan. Berikan juga peluang kedua sebelum mengambil tindakan merotan. Lebih penting ialah menasihati mereka secara berterusan di samping memantau perkembangan pelajaran, kesihatan dan pergaulan sosial mereka.
Rusil (1997) berkata, menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman, adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan kesalahan bagi membentuk disiplin dan keperibadian mereka. Ini kerana apabila seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran disiplin dapat diatasi.
Oleh itu, hukuman rotan yang dibenarkan Kementerian Pelajaran Malaysia, dilakukan secara adil ke atas seseorang murid yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh sekolah, dikenakan hukuman sedemikian atas dasar setelah nasihat, amaran dan denda yang dikenakan masih tidak merubah tingkah laku negatif murid tersebut; dilakukan oleh orang yang dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah, tidak menimbulkan sebarang kecacatan fizikal, dengan penuh rasa kepentingan menjaga keseimbangan sistem sekolah demi keselamatan murid-murid lain dan juga dilakukan oleh guru bukan mengikut emosi atau perasaan membalas dendam adalah dibolehkan.
Badan Kajian dan Penyelidikan di London menunjukkan sebahagian ibu bapa percaya hukuman berat adalah kaedah kawalan berkesan kepada pelajar. Mereka juga percaya tingkah laku kanak-kanak dan remaja semakin teruk sejak amalan merotan dihapuskan di bidang pendidikan. Pihak penyelidik menyatakan keputusan mengharamkan hukuman itu menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin di kalangan pelajar di negara itu. Jika England akan mengembalikan peranan rotan dan pembaris ke tempatnya, mengapa kita tidak mendahului mereka dalam hal ini.
Oleh itu, kementerian Pelajaran telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 iaitu kuasa guru merotan murid. Merujuk surat pekeliling tersebut, Kuasa merotan murid telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan sejak sekian lama. Kuasa merotan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan berasaskan peruntukan yang disediakan dalam PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957. Dalam PERATURAN 6 dinyatakan dengan jelas bahawa :
Peraturan 6 : Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu, tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu.
Kuasa yang diberikan pihak sekolah mestilah menurut Peraturan 5 iaitu :
(1) Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat :
Dengan syarat bahawa –
(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan
(b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.
(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan (1) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh pendaftar. Hukuman yang dikenakan hendaklah direkodkan dengan menyatakan jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan dan saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan.
CARA PENYELESAIAN
Isu disiplin dan pelajar ini semakin hari semakin serius dan hangat diperkatakan. Namun, sehingga kini masalah ini masih tiada jalan penyelesaiannya dan kadang kala menimbulkan rasa kecewa terutama di kalangan pendidik yang sering dipertanggungjawabkan ke atas masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar. Maka adalah wajar untuk kita sebagai bakal pendidik di masa hadapan , bertanggungjawab untuk sama-sama cuba memikirkan apakah jalan penyelesaian yang terbaik untuk menangani masalah ini.
Guru memainkan peranan dan tanggungjawab bukan sahaja setakat mengajar tetapi juga mendidik. Mereka membentuk sikap, nilai dan akhlak para pelajar melalui pembentukan disiplin yang baik. Omardin Ashaari (1996) dalam bukunya Pengurusan Sekolah ada menyatakan bahawa matlamat akhir guru adalah membentuk disiplin kendiri yang baik. beliau juga ada menyatakan peranan guru dalam melaksanakan disiplin adalah dengan mengawas disiplin dalam bilik darjah, disekitar sekolah dan dalam kegiatan luar sekolah.
Ordinan Pelajaran 1957 dan Pekeliling Ikhtisas yang diedarkan oleh Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan 1968 dijadikan landasan untuk membentuk tatacara disiplin di sekolah-sekolah diseluruh Malaysia. Namun begitu, dari kajian yang telah dilakukan oleh Jawatan kuasa Disiplin sekolah, didapati bahawa pihak sekolah mengambil tindakan yang berbeza-beza ke atas kes yang sama. Ini adalah kerana pentadbir sekolah diberi kuasa menggunakan budi bicara mengikut Buku Panduan Disiplin yang menimbangkan tindakan yang setimpal dan berdasarkan persekitaran persekolahan, latar belakang pelajar, kekerapan melakukan kesalahan dan alasan pelajar melakukan kesalahan tersebut.
Kuasa guru dalam melaksanakan undang-undang disiplin tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia telah termaktub dalam Ordinan tapi perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam Peraturan 4, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) iaitu :
1) Keadilan hendaklah diamalkan
2) Seseorang tidak boleh dihukum tanpa belaan dirinya.
3) Setiap individu yang dituduh hendaklah diberi peluang dan hak untuk didengar.
Oleh itu, guru mestilah adil dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar dan pelajar juga perlu diberi peluang untuk mengemukakan alasan-alasan terhadap perlanggaran disiplin itu untuk membela diri mereka. Dendaan yang boleh diamalkan untuk mengatasi masalah disiplin terdiri daripada hukuman biasa dan berat. Hukuman biasa yang boleh dikenakan kepada pelajar yang didapati melakukan kesalahan kecil adalah seperti rotan, amaran, dan penahanan. Jikalau pelajar melakukan kesalahan yang serius dengan mengancam guru, merosakkan harta benda, penggantungan bagi tempoh tertentu dan pembuangan sekolah dikenakan ke atas diri mereka. Pada masa penggantungan pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan dan menggunakan kemudahan sekolah.
Prosedur yang telah ditetapkan oleh Ordinan Dalam Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 telah menyatakan bahawa hukuman dera yang hendak dijalankan perlu menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau bahagian punggung yang dilapik dengan pakaian. Dalam melaksanakan proses hukuman, untuk mengelakkan guru yang melaksanakan hukuman teraniaya , Peraturan 5 ada menyebut bahawa guru perlu merekod jenis hukuman, ditandatangani oleh Guru Besar dan disaksikan oleh seorang guru lain sebagai saksi. Oleh itu selagi guru yang melaksanakan hukuman mematuhi tatacara yang telah ditetapkan dalam Ordinan dan undang-undang sekolah maka guru berkenaan terselamat daripada segala tindakan yang diambil oleh pihak pelajar yang bersalah termasuk tindakan mahkamah.
KESIMPULAN
Walau apapun masalah disiplin yang timbul, pelajar perlu dikenakan hukuman atau denda baik ringan atau berat bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan. Pelaksanaan hukuman ini perlu kerana ia merupakan salah satu daripada kaedah atau cara pendidikan yang berkesan. Bagaimanapun sebelum pelaksanaan sesuatu hukuman, pihak ibu bapa hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tidak timbul sebarang masalah berbangkit selepas sesuatu tindakan dilakukan. Namun begitu pihak sekolah juga harus bertanggung jawab sepenuhnya terhadap tindakan yang dibuat. Ini bertujuan mempastikan sesuatu tindakan yang diambil adalah wajar dan berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan. Secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada timbulnya masalah guru mendera pelajar.
Jadi, jelaslah kepada kita di atas bahawa Islam tidak menyempitkan penggunaan rotan/sebatan sebagaimana akta yang ada sekarang ini sehingga guru-guru tidak dapat memberi adab dengan sewajarnya kepada para pelajar. Islam juga tidak memperluaskan penggunaan rotan sehingga guru boleh memukul sesuka hatinya dengan syarat tidak melanggar dasarnya iaitu memberi pengajaran dan menolak kemudaratan.
REFLEKSI
Pertamanya, saya mengucapkan syukur atas kurniaan-Nya yang membolehkan saya bersama rakan-rakan yang lain berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan ini. Terima kasih tidak terhingga kepada pensyarah, Pn Salina Mokhtar atas bimbingan yang diberikan. Pelbagai input atau manfaat yang berguna yang saya peroleh sepanjang menyiapkan tugasan ini.
Antaranya, saya dapat mengetahui isu-isu berkait keguruan yang berlaku di sekeliling kita. Dengan merujuk pelbagai sumber, saya mendapat gambaran bahawa tugas guru bukanlah semudah yang disangka. Guru juga berdepan dengan pelbagai isu samada yang berkait dirinya sendiri atau dengan murid dan sekolah.
Tugasan ini juga mengajak saya berfikirian secara analitik dengan mengemukakan justifikasi yang munasabah dan rasional terhadap isu yang saya ketengahkan. Memang benar, sebelum ini kita selesa dengan penulisan yang biasa, namun di sini, saya belajar untuk menulis dengan lebih akademik melalui rujukan yang diiktiraf dari laman-laman web rasmi. Melalui pembacaan dari pelbagai sumber, saya dapat membuka pemikiran saya untuk menganalisis isu tersebut. Sebelum ini, saya mengatakan tidak setuju dengan isu tersebut, namun setelah pembacaan, saya lebih rasional dalam menghukum sesuatu perkara.
Pada mula saya menerima tugasan ini, saya agak gusar kerana tugasan ini mengkehendaki saya menganalisis isu secara akademik. Hal ini membimbangkan saya kerana saya tiada pengalaman dalam menganalisis isu. Namun, setelah berbincang dengan pensyarah, meminta tujuk dan panduan, dan juga bersama-sama rakan-rakan yang lain, saya dapat berjaya menyiapkan tugasan ini.
Selain itu, tugasan ini juga meminta saya dan rakan-rakan untuk membina sebuah laman blog ilmu, dan analisis isu tadi akan dimasukkan ke dalam blog tersebut. Ini juga menyukarkan saya kerana tiada pengalaman dalam membina blog. Namun, bersama rakan-rakan sekumpulan, kami membahagi tugas untuk menyiapkan blog terbut mengikut bidang kepakaran masing-masing. Secara tidak langsung, tugasan ini menerapakan kemahiran ICT kepada kami sebagai satu elemen penting terhadap ilmu keguruan masa kini.
Untuk akhirnya, saya amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu saya dan rakan-rakan menyiapkan tugasan projek Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru.