GAMBAR HIASAN
KUALA TERENGGANU - Sekumpulan penyelidik dan pensyarah tempatan berjaya membuat penemuan bersejarah iaitu berupa fosil dinosaur di sekitar Gunung Gagau, Hulu Terengganu hasil Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014, pada 13 hingga 23 Oktober lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ekspedisi itu dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Kumpulan Warisan Geologi (KWGM).
Ia dianggotai pensyarah dan penyelidik beberapa universiti tempatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Menurutnya, ekspedisi itu membawa kepada penemuan fosil gigi, kesan tapak kaki dan tulang dinosaur spesies Theropod, Iguanodontid dan Sauropod di Sungai Chichir, Tasik Kenyir.
“Alhamdulillah, setelah berpenat lelah meredah hutan dan mendaki gunung dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, akhirnya mereka menemui sesuatu yang menggembirakan iaitu penemuan fosil gigi dan tulang dinosaur serta kesan tapak kaki haiwan itu di sekitar Sungai Chichir, Hulu Terengganu.
“Kita sebagai rakyat Terengganu bersyukur atas penemuan fosil dinosaur di negeri ini dan yakin bahawa penemuan ini akan memberikan kekuatan dan tambah nilai ke arah merealisasikan usaha kita untuk mewujudkan Geopark Tasik Kenyir.
“Kita menyasarkan supaya Geopark Tasik Kenyir mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya diiktiraf sebagai Geopark Global Unesco,” katanya pada sidang media yang diadakan di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Turut serta, Ketua Pengarah JMG, Datuk Yunus Abdul Razak; Setiausaha Bahagian Mineral dan Geosains Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Mazlan Wan Mahmood dan Profesor Dr Shafeea Leman dari UKM yang mewakili penyelidik.
Ahmad Razif berkata, beliau percaya penemuan fosil dinosaur itu apabila dipakejkan dengan keunikan Gua Bewah dan Gua Taat akan memberi lonjakan impak kepada industri geo-pelancongan negara, khususnya di negeri ini.
“Saya juga berharap Jabatan Mineral dan Geosains akan meneruskan usaha ini ke peringkat yang lebih terperinci dan pihak kerajaan negeri menyokong penuh hasrat ini.
"Kerajaan negeri juga bersedia menyediakan bantuan yang sewajarnya bagi menjayakan projek berkenaan,” katanya.
Dimensi baharu ilmu geologi
Sementara itu Yunus berkata, peserta ekspedisi yang terdiri daripada 17 penyelidik iaitu 10 Pegawai Geosains dari JMG, tiga pensyarah UKM, masing-masing seorang pensyarah UM dan UTP, dua pensyarah dari UMK serta dua kakitangan Perhilitan.
Katanya, lokasi ekspedisi terletak di sempadan Terengganu-Kelantan-Pahang iaitu dua jam perjalanan bot laju dari Pengkalan Gawi dan melibatkan 10 kilometer berjalan kaki ke lereng Gunung Gagau.
Menurutnya, penemuan itu melibatkan fosil gigi dinosaur dalam bongkah konglomerat di Sungai Chichir, fosil tapak kaki dinosaur di atas bongkah batu pasir di Sungai Chichir, fosil tulang dalam singkapan batu pasir berpebel di Sungai Chichir serta fosil tumbuh-tumbuhan, kayu terpetri dan singkapan batu arang ditemui di Sungai Pertang.
“Penemuaan fosil dinosaur di Hulu Terengganu akan membuka dimensi baru ilmu geologi di negara ini.
"Ia juga memberi nilai tambah kepada usaha menjadikan Wilayah Tasik Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan dan Geopark Global Unesco," katanya.
Yunus berkata, penemuan itu memberi lonjakan dan impak kepada industri eko-geo-pelancongan negara dan membuka ruang perkongsian pintar antara kerajaan negeri, JMG/NRE serta IPT.
Menurutnya, Malaysia mula terbentuk sekitar 500 juta tahun dahulu dan sejak itu, pelbagai jenis batuan telah terbentuk dan pelbagai jenis rangka kehidupan terakam sebagai fosil dalam batuan.
Batuan yang paling tua di negara ini berada di barat laut Semenanjung, iaitu bermula dari Langkawi-Jerai-barat laut dan semakin muda ke arah timur.
Antara jutaan jenis kehidupan, penemuan fosil dinosaur yang hidup di muka bumi ini antara 210 juta tahun hingga 66 juta tahun yang lalu adalah kemuncak kepada penyelidikan fosil.
Katanya, susulan penemuan itu, apa yang akan dilakukan seterusnya adalah mengenal pasti dan mengesahkan spesies dinosaur dan menjalankan kajian susulan di kawasan sekitar.
“Kita juga akan menjalankan kajian yang serupa di kawasan lain, lokaliti fosil dinosaur juga akan dipelihara daripada kemusnahan proses semula jadi dan gangguan manusia serta mengembangkan dimensi penyelidikan di negara ini,” katanya.