TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG,SEMOGA APA YANG DIKONGSI DISINI BERMANAFAAT KEPADA ANDA...

KRITERIA SEORANG PENDAKWAH

GAMBAR HIASAN

Dakwah ke jalan Allah s.w.t. ialah dakwah yang paling mulia dan berharga di dunia ini. Ia merupakan kaedah (manhaj) yang benar dan jalan yang lurus iaitu jalan para nabi, rasul dan orang-orang yang saleh. Pendakwah hendaklah berpegang dengan seruan dakwahnya dan menunjukkan contoh akhlak yang mulia serta beramal dengan prinsip-prinsip asas dalam perlakuan dan kata-katanya. Pendakwah juga hendaklah beriltizam dengan bersungguh-sungguh tentang apa yang didakwahkannya kepada orang ramai. Dengan itu, pendakwah perlu berdakwah melalui perbuatannya, bukan dengan kata-katanya sahaja. Bagi menjayakan usaha dakwahnya, pendakwah perlu mempunyai beberapa sifat yang mulia supaya ia dapat menjadi seorang pendakwah yang baik dan sabar dalam melaksanakan tugas dakwahnya.

Antara sifat -sifat yang perlu dimiliki adalah:

1. Hubungan dengan Allah s.w.t.
Pendakwah hendaklah mempunyai hubungan yang erat dengan Allah s.w.t. Ia dapat memberi keyakinan yang kukuh kepada pendakwah dalam menghadapi rintangan dalam kehidupan. Hubungan tersebut juga memberi kesan yang baik dalam dakwah dan menjadikannya seorang yang sabar, tabah dan berani dengan kebenaran. Hubungan dengan Allah s.w.t. dan niat yang ikhlas adalah penting dalam menjalankan usaha dakwah. Pendakwah perlu menjalankan usaha dakwahnya hanya semata-mata kerana Allah s.w.t. dan tidak kerana sebab-sebab lain yang boleh merosakkan dakwahnya. Pekerjaannya juga akan menjadi sia-sia seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t yang bermaksud: Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah s.w.t. Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya. dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).

2. Mengawal Hawa Nafsu.
Setelah pendakwah dapat mengeratkan perhubungannya dengan Allah s.w.t. dan mengikhlaskan niat kepada-Nya, pendakwah perlu membaiki dirinya sendiri dan mengawal hawa nafsunya. Pendakwah hendaklah mengetahui segala perintah dan larangan Allah s.w.t. Imam al-Ghazali berkata, ‘Dalam kesibukan berdakwah kepada orang ramai, pendakwah perlu membaiki dirinya terlebih dahulu. Contohnya, jika seorang pendakwah ingin membaiki seseorang daripada sifat bakhil, ia haruslah menjauhkan dirinya daripada sifat tersebut terlebih dahulu. Sesiapa yang memulakan dengan dirinya terlebih dahulu, ia akan mengetahui dengan sebenarnya apa yang akan disampaikannya kepada orang lain dan kata-kata tersebut akan sampai kepada jiwa yang tulus ikhlas’. Perkara yang penting bagi para pendakwah Islam ialah mendalami dirinya sendiri dan seterusnya mengubati atau membaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam dirinya. Hanya dengan cara itu pendakwah dapat menjadi contoh yang baik (ukhwah hasanah) kepada orang lain dan sekaligus menyebabkan orang lain mematuhi apa yang disampaikan oleh pendakwah tersebut serta beriltizam untuk menjauhi apa yang dilarang.

3. Keyakinan Kepada Diri Sendiri dan Mendapat Kepercayaan Masyarakat.
Pendakwah hendaklah meyakini dirinya sendiri, agamanya dan segala prinsip (dasar) yang didakwahkannya. Kepercayaan terhadap diri sendiri perlu dipupuk melalui kepercayaan terhadap Allah s.w.t. Kepercayaan masyarakat terhadap pendakwah tidak akan wujud sehinggalah pendakwah itu dapat menjadi satu contoh yang baik dalam perbuatan dan pengetahuannya melalui akhlak dan muamalah sehariannya. Pendakwah hendaklah berakhlak mulia, bercakap benar, menepati janji dan mengasihi sesama manusia. Keyakinan masyarakat terhadap pendakwah juga tidak kuat sekiranya pendakwah tidak menampilkan contoh yang baik dan mengamalkan apa yang disampaikan dalam kehidupannya dari segi prinsip dan akhlak. Pendakwah yang berdakwah ke jalan Allah s.w.t. perlu menjadi seorang manusia yang berhemah tinggi, mengasihani, menjaga hati orang lain, masyhur dengan kelakuan mengikut al-Quran dan al-sunnah serta beramal dengan kedua-duanya. Pendakwah hendaklah mengelakkan diri daripada berkelakuan yang boleh menyakiti hati orang lain sama ada dari segi perkataan, akhlak dan lain-lain. Pendakwah juga perlu mahir dalam ilmu usul tauhid serta mengetahui dalil dan hujah, menjadi sebagai doktor yang bijak mengubati penyakit jiwa manusia dan mampu menjadi penawarnya. Apabila faktor ini dapat dipenuhi, pendakwah boleh melunak dan menjinakkan jiwa manusia yang keras dengan melayani tingkah laku mereka yang buruk itu sehingga hati mereka menjadi jinak. Dengan ini, bolehlah pendakwah mendakwah mereka ke arah kebenaran yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.

4. Mencintai Dakwah dan Semangat Berkorban Untuk Melaksanakan Dakwah.
Sifat ini adalah antara sifat yang patut dimiliki oleh seorang pendakwah. Ia menunjukkan kecintaan pendakwah terhadap tugasnya tanpa berbelah bagi. Dakwah merupakan jalan yang benar (siratul mustaqim) dan ia tidak akan meninggalkan dakwah tersebut dengan begitu sahaja. 5. Luhur dan Dihormati. Untuk menyampaikan dakwahnya dengan berkesan pendakwah perlu memiliki sifat yang luhur dan tidak mudah terpengaruh dengan orang lain. Dengan sifat sedemikian. beliau akan sentiasa dihormati. Seorang bangsa Arab pernah bertanya kepada seorang lelaki penduduk Basrah tentang ketua mereka. Lelaki itu menjawab, ‘Hassan al-Basri’. Lelaki Arab itu bertanya lagi, ‘Bagaimana dia mengetuai kamu semua?’ Lelaki itu menjawab, ‘Manusia berhajatkan ilmunya, tetapi dia tidak mengingini balasan (wang) daripada mereka’. Ini menunjukkan. pendakwah tidak boleh mendahulukan kehendak atau kemahuan dirinya sendiri serta bersifat mementingkan diri sendiri. Pendakwah perlu mementingkan keperluan dan kebaikan orang ramai lebih daripada kepentingan dirinya sendiri. Pendakwah juga haruslah mempunyal sifat pemaaf dan menyedari bahawa setiap manusia melakukan kesalahan dan Allah s.w.t. sentiasa menerima taubat hamba-Nya.

6. Sabar dan Tabah Menghadapi Kesusahan.
Dalam melaksanakan tugas dakwah ke jalan Allah, banyak halangan dan masalah yang perlu dihadapi seperti musuh-musuh Allah yang bertujuan menjauhkan mereka daripada manhaj Allah. Mereka memusuhi pendakwah secara terang-terangan dan tersembunyi. Semasa di Mekah, Rasulullah s.a.w. mengelakkan dakwah secara pergaduhan dan peperangan dengan tujuan untuk menunjukkan cara yang sempurna, betul dan terbaik untuk berdakwah. Baginda begitu sabar untuk meneruskan dakwahnya dengan ikhIas dan tabah dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran. Allah s.w.t. menguji kesabaran dan ketabahan para pendakwah. dengan memberi kesusahan dan ujian ketika ia melaksanakan tugasnya. Ujian tersebut adalah untuk membuktikan keikhlasan pendakwah terhadap Allah s.w.t. dan membersihkan dirinya daripada perkara syubhah (buruk). Ini merupakan sunnah para nabi dan rasul. Nabi Nuh a.s. contohnya, tinggal bersama-sama dengan kaumnya lebih kurang 950 tahun, menyeru kaumnya ke jalan Allah tetapi mereka menutup telinga dan menyelubungi diri mereka dengan pakaian supaya mereka tidak mendengar dakwah yang disampaikan. Mereka tetap degil dan takbur. Maka Allah S.W.T telah menurunkan banjir yang besar dan menghapuskan mereka dalam kezaliman mereka sendiri.

7. Tawadhu’.
Tawadhu’ merupakan salah satu akhlak mulia yang perlu dimiliki oleh setiap pendakwah. Sifat tawadhu’ adalah lawan bagi sifat takbur. Maksiat pertama yang berlaku selepas Allah mencipta nabi Adam ialah sifat takbur yang menyebabkan iblis telah dihalau dari syurga Allah. Tawadhu’ adalah sifat rendah diri dan berkasih sayang terhadap sesama muslim. Sifat ini dapat membantu pendakwah menyatupadukan umat Islam dan menyuburkan perasaan kasih sayang. Segala tutur kata, perlakuan dan sifat-sifat mahmudah yang terpancar daripada pendakwah akan membuatkan ia disenangi dan menjadi contoh yang baik. Apabila pendakwah disenangi oleh orang lain, maka dakwahnya akan mudah diterima dan berkesan.

8. Penyantun.
Pendakwah selalu bertemu dengan manusia yang mempunyai pelbagai perangai dan ragam yang berbezaAda di antara mereka yang baik akhlaknya dan tidak kurang juga yang sebaliknya. Terdapat juga manusia yang kasar dan degil sifatnya. Pendakwah yang memiliki sifat penyantun akan berhadapan dengan manusia sebegini dengan hati yang terbuka dan berinteraksi dengan setiap orang dengan cara yang berkesan dan bermanfaat. Bersopan-santun bukanlah bermakna berdiam diri apabila dihina kerana seorang mukmin yang mulia tidak akan membenarkan dirinya dihina. Seseorang pendakwah itu perlu bersopan-santun apabila berhadapan dengan kejahilan orang yang jahil. Seseorang yang memiliki sifat ini tidak menggunakan kezaliman apabila mempertahan haknya. Sekiranya seorang itu berdiam diri kerana kelemahannya dan tidak mampu untuk menolak serta mempertahan haknya, maka itu adalah kerana kelemahannya, bukan sifat penyantun. Terdapat banyak kisah yang menjelaskan tentang sifat penyantun dan pemaaf. Abdullah bin Tahir pernah berkata, ‘Pada satu hari saya berada disisi al-Ma'mun dan dia memanggil khadamnya. 'Wahai khadam', tetapi tiada siapa yang menjawab. Kemudian dia memanggi llagi sambil menjerit. 'Wahai khadam' lalu seorang khadam Turki masuk dan berkata. 'Bukankah seorang khadam itu perlu makan dan minum? Setiap kali kami keluar dari bilik tuan, tuan akan menjerit memanggil kami’. Al- Ma'mun kemudian menundukkan kepalanya agak lama. Saya yakin bahawa beliau akan menyuruh saya memancung kepala khadam itu. Al- Ma'mun kemudian memandang saya dan berkata, 'Wahai Abdullah, seseorang itu kalau baik akhlaknya maka akan buruklah akhlak pembantunya (khadamnya). Oleh itu kita tidak boleh memburukkan akhlak kita demi membaiki akhlak khadam kita’.


(Ustaz Badli Shah Alaudin)
10 ciri-ciri pendakwah yang cemerlang


1-Bermanfaat kepada orang lain.
2-Aqidah yang sejahtera.
3-Ibadah yang betul.
4-Akhlak yang mantap.
5-Luas pengetahuan.
6-Sihat tubuh badan.
7-Mampu berdikari.
8-Melawan nafsu.
9-Sangat menjaga masa.
10-Tersusun urusannya.



Next Previous Home